As salam.
Apabila orang bercerita tentang sahabat, adakalanya, ada yang tersilap definisi. Sahabat, teman, kawan, member...tak sama katanya. Hakikatnya, semua itu menjurus kepada satu sebab...silaturahim. Betul ngak? :)
Bukan dalam soal cintan cintun sahaja, hati kena satu, namun dalam soal persahabatan juga begitu. Tambahan pula, apabila bersahabat dalam satu kumpulan. Banyak hati yang mahu disatukan. Banyak peel yang perlu diselenggarakan. Banyak kerenah yang perlu dijinakkan. Banyak banyak banyak dan banyak...semuanya kena dirangkum menjadi satu, SATU yang boleh diterima pakai oleh semua orang. Payah tu. Boleh tapi kena banyak sabar.
Ada kita tengok, persahabatan yang berkekalan bertahun padahal mereka tidak sama pun. Ada perbezaan dalam beberapa perkara, namun, mereka mampu mencari satu titik persamaan hingga tidak menjejaskan langsung soal persahabatan. Hakikatnya, kita memang sama tapi tak serupa. Kadang-kala, kelainan antara satu sama lain itu bagaikan warna persahabatan. Seronok. Benda baru. Sama saja, bosan juga kan. :)
Kita tidak boleh harap sahabat kita berfikir, bertindak, berperwatakan sama seperti kita. Sama juga, sahabat kita tidak boleh harap kita sama macam dia. Itu juga boleh jadi benda yang clash...tapi, mahukah kita hilang kawan semata-mata dia tidak suka 'lagu' yang sama? Apa salah kita dan dia nyanyi lagu berlainan, satu hari boleh buat medley...kan meriah? Itu contohnya la.
Dari Anas r.a bahawa Nabi SAW bersabda:"Janganlah kamu sekalian saling membenci, saling menghasut, saling membelakangi dan saling memutuskan silaturahim, tetapi jadilah kamu sekalian hamba Allah yang bersaudara. Seorang Muslim tidak diperbolehkan mendiamkan (tidak bercakap) saudaranya lebih dari tiga hari." (Muttafaqun 'alaih).
Lagi satu penyakit yang merosakkan persahabatan...andaian dan prasangka. Bila kita mengandaikan dan menyangka sesuatu namun tiada susulan perbincangan mahupun hati ke hati, ia akan jadi penyakit. Maka, rosaklah persahabatan. Bukan sahaja rosak silaturahim, berdosa pulak bila andaian dan sangkaan tu tak betul...jatuhnya fitnah pulak. Astaghfirullahalazim...
Allah SWT berfirman:"Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa." (Al-Hujurat:12)
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:"Jauhilah oleh kamu sekalian berprasangka, kerana sesungguhnya prasangka itu adalah percakapan yang paling dusta." (Muttafaqun 'alaih)