Thursday, December 15, 2011

As-Sajjad, mampukah kita?

As salam all...


Asyik rasanya membaca kisah-kisah ahlul baiyt, terasa kita jauh ketinggalan untuk beriringan dengan para wali dan solihin ini. Amalan, amal ibadah, kebajikan mereka...Masya Allah, sangat sukar untuk kita mengikut amalan-amalan mereka. Semasa mengikuti majlis selawat burdah, juga kelas fiqh, sirah di bawah Az-Zahra baru-baru ini, excited mendengar kisah Imam Ali Zainal Abidin, cicit Rasullullah SAW, keturunan Saidina Hussain, cucu Rasullulah SAW. Beliau digelar As-Sajjad, iaitu hamba yang setia bersujud kepada Allah SWT...


Apabila membicarakan mengenai sujud, kita renung diri kita...berapa kalikah kita sujud dalam sehari? Solat 5 waktu, solat sunat...solat malam...kadang-kala, kita hanya mampu buat yang wajib, dan kadang-kala yang wajib juga culas...astaghfirullahalazim. Namun, Imam Ali Zainal Abidin digelar As-Sajjad kerana beliau sujud kepada Allah SWT tidak kurang 1000 kali sehari...Masya Allah.


Solat malam sangat-sangat disarankan untuk kita semua lakukan. Menghidupkan malam adalah umpama memberikan seluruh rumah itu cahaya dan keberkatan sepanjang masa. Teringat satu cerita mengenai seorang ibu tunggal yang mempunyai tiga orang anak lelaki. Wanita muslimah ini hidup pada zaman Rasulullah SAW (saya terlupa namanya). Beliau mendidik seluruh keluarganya untuk menghidupkan malam. Maka, beliau akan bahagikan malam itu kepada empat dan mereka akan bergilir-gilir solat mengikut pembahagiaan sehingga pagi. Sampai ibu mereka meninggal dunia, mereka tetap meneruskan amalan itu dan bahagikan malam itu kepada tiga pula. Dan wanita itu serta anak-anak lelakinya sudah dijanjikan dengan ganjaran syurga, subhanallah...


Mampukah kita untuk melaksanakan segala perkara wajib, sunat dan sunnah sedangkan kita semua mahukan ganjaran syurga, mahu berada dalam kalangan ahlul baiyt, para wali dan solihin, juga para anbiya...mahu beriringan ke syurga bersama Rasulullah SAW...itulah yang perlu kita kuatkan, istiqomah itu penting dan husnul khotimah adalah matlamat kita semua. Insya Allah...=)

No comments:

 
Images by Freepik